Artikel 15 (Politik dan demokrasi amerika serikat)

Posted: Juni 18, 2010 in Uncategorized


Politik dan demokrasi ala Amerika Syarikat

“Hai, kawan, apa yang kau cari bawah lampu tu?”
“Cari anak kunci saya?”
“Di mana kau hilang kunci tu?”
“Di seberang jalan sana?”
“Habis, kenapa tak cari di seberang sana tu?”
“Kerana lampu di sini lebih terang.”

Demikian cerita lucu Amerika Syarikat (AS) dari sebuah buku yang mengaitkannya dengan pelbagai tindak-tanduk politik negara itu ketika ini. Lalu dijelaskan: ‘‘Tokoh-tokoh dan aktivis-aktivis politik selalu saja mencari di tempat-tempat yang salah untuk menyelesaikan pelbagai masalah politik yang rumit. Mereka tidak mengatasi isu-isu yang sukar secara praktikal dan logik. Sebaliknya mereka mencari penyelesaian mudah di tempat-tempat mereka mencari penyelesaian, tetapi bukanlah di situ penyelesaiannya.’’

Tanpa memastikan setiap masalah yang dihadapi oleh masyarakat, aktivis-aktivis politik mengambil tindakan yang tidak jelas nilainya demi memperlihatkan ketangkasan mereka kepada para pengundi. Kadang-kala sesuatu masalah yang dihadapi aktivis-aktivis politik tidak begitu jelas dan sering diperbesarkan. Akibatnya tindakan yang diambil tidakpun menyelesaikan hal. AS dewasa ini sering bertindak balas kepada pelbagai krisis dan tragedi,”.

Berupa jawapan kepada persoalan yang berbangkit itu ialah kenyataan Condoleezza Rice, Setiausaha Amerika dalam jurnal Foreign Affairs isu Julai-Ogos 2008, bertajuk The New American Realism apabila beliau menegaskan: “Asas kekuatan Amerika tetap teguh kerana puncanya ialah masyarakat Amerika yang dinamis, bertenaga dan cekal.” Kenyataannya itu tentunya mendapat perhatian negara-negara lain dan bukan oleh para diplomat sahaja.

Menurutnya, dasar Amerika untuk mengembangkan sistem demokrasi mestilah diutamakan, lalu menambah: “Cacatnya demokrasi menyebabkan sesetengah pihak tertanya-tanya apakah negara-negara yang lemah lebih baik saja menegakkan pemerintahan kapitalis yang otokratik. Beberapa negara berjaya dengan modal tersebut dan penarikannya begitu berkesan manakala sistem demokrasi terlalu lambat memenuhi tuntutan kehidupan lebih baik.”

Rice kemudian bertanya dan menjawab: “Apakah pada waktu jangka panjang kerajaan seumpama itu boleh menghormati kepandaian warga mereka saja, bukan hak-hak asasi mereka? Pada hemat saya, tidak boleh.”

Demokrasi

Beliau mengaku bahawa perkembangan sistem demokrasi memang serba kemungkinan “tetapi tidak boleh dipercepat atau mudah dilaksana.” Juga diakui bahawa demokrasi tidak boleh wujud secara paksa “terutama oleh kuasa asing.” Seperti berlaku di Iraq? Kita bertanya.

Di samping itu disebut olehnya bahawa usaha memupuk sistem demokrasi dan melawan keganasan kadang kala menimbulkan penilaian yang sukar “kerana kita kini memerlukan rakan-rakan yang cekap di Timur Tengah untuk menghapuskan pihak pengganas. Negara-negara itu bukan demokratik dan oleh itu kita mesti mengimbangi sasaran jangka pendek dan jangka panjang. Kita tidak boleh menafikan bantuan keselamatan kepada negara-negara tidak demokratik untuk memerangi keganasan atau mempertahan diri sendiri.”

Rice menyentuh kerjasama yang telah dijalin di antara AS dan Pakistan semasa kepimpinan Presiden Pervez Musharraf. Menurutnya setelah pemerintahan darurat diisytiharkan di Pakistan, AS mendesak Musharraf supaya mengadakan pilihan raya yang bebas. Beliau menambah: Walaupun pihak pengganas cuba menggagalkan pemulihan demokrasi dan ramai orang tidak berdosa mati dibunuh, termasuk bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, namun rakyat Pakistan tetap tegas menolak golongan-golongan pelampau agama ketika mengundi.”

Hal ini telah beberapa kali dinyatakan bersabit pilihan raya demi pilihan raya yang diadakan di Pakistan sejak kelahirannya, iaitu parti-parti agama tiap kali tewas.

Beralih kepada pilihan raya di Tebing Barat Palestin, Rice menyebut mengenai pilihan raya di bandar Qalqilya yang dimenangi oleh Hamas pada tahun 2004. Rakyat Palestin yang kemudian bosan dengan Hamas tidak memilihnya dalam pilihan raya berikutnya.

Mengenai Iraq pula, Rice menegaskan: “Amerika tidak menggulingkan Saddam Hussein untuk mewujudkan demokrasi di Timur Tengah. Dalam pada itu beliau mengaku bahawa usaha Amerika di Iraq “begitu rumit sekali. Iraq telah berpecah dan masyarakatnya juga berpecah semasa pemerintahan Saddam. Kami kemudian melakukan beberapa kekhilafan. Itu tidak dinafikan.”

Rice membela sistem di negaranya sendiri. “Amerika masih mempunyai kebolehan istimewa menyerapkan warga negara daripada apa juga bangsa, agama dan budaya.”

Beliau menambah: “Kami hidup pada masa depan, bukan pada zaman lampau. Kami tidak berlengah-lengah dengan sejarah kami sendiri. Ini menyebabkan kami melakukan kekhilafan pada masa lalu dan tentunya kami mengulanginya pada masa akan datang.” Amerika kini menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-232.

Pertanyaan: Apakah di Amerika saja sesetengah aktivis politik mencari kunci di bawah lampu yang terang, bukan di tempat ia hilang di seberang jalan?

Dalam pada itu wajar dicatat ialah peranan Amerika melahirkan negara Bosnia setelah diserang oleh pihak Serb dan begitu juga negara Kosovo pada awal tahun ini. Sebab itulah warga Albania yang Islam terus memihak kepada Amerika.

Catatan kaki: Rangkaian televisyen CNN pada minggu lalu menyiarkan gambar beribu-ribu orang Islam Bosnia sembahyang memperingati pembunuhan 8,000 orang Islam di Srebenica oleh askar Serb pada bulan Julai 1995. Menurut laporan terbaru itu dari jumlah besar yang menjadi korban hanya 308 dikenali dan disembahyangkan.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s